Sunday, September 6, 2009

RAMADHAN: Universiti Pembenihan Iman

Tajuk : Ramadhan – Universiti Pembenihan Iman
Subjek : Taqwa adalah Ijazah Tertinggi di Hari Konvokesyen yang Abadi



Seringkali kita perhatikan bahawa kehadiran bulan Ramadhan pasti akan disambut dengan lebih meriah berbanding kehadiran bulan-bulan yang lain. Ketibaan bulan Ramadhan seringkali dijadikan sasaran oleh kebanyakan peniaga terutamanya peniaga-peniaga daripada gedung-gedung pakaian untuk mengadakan promosi secara besar-besaran, gedung-gedung perabot untuk mengadakan penjualan penghabisan stok dan sebagainya. Pada masa ini jugalah dapat diperhatikan peratus kunjungan masyarakat ke tempat membeli belah meningkat berkali ganda. Dahsyat sungguh ‘penangan’ bulan yang diberi nama Ramadhan ini. Tapi jika difikir-fikir secara logiknya, kenapa dalam bulan sahaja ramai masyarakat kita sanggup berhabisan duit untuk membeli bagi menggantikan segalanya dengan yang baru, perabot, pakaian, langsir dan boleh dikatakan segalanya ingin berganti. Apakah rasionalnya? Mengapa sehingga ke tahap itu? Apakah ia merupakan kewajipan bagi bulan Ramadhan sehinggakan kebanyakan kita sanggup berhabisan duit bagi menggantikan keperluan sedia ada dengan keperluan yang baru? Ibarat seperti sudah menjadi hukum wajib seperti bagi seorang pelajar yang perlu menggantikan semua keperluan harian dengan yang baru apabila bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan amalan puasa ini? Merujuk tulisan Abdul Hadi Awang dalam bukunya yang bertajuk ‘Ramadhan Tetamu yang Dirindui’, puasa berasal daripada perkataan Siyam atau Saum yang diambil daripada perkataan arab yang bermaksud Imsak iaitu menahan diri daripada apa sahaja seperti makan, minum, bercakap dan lain-lain. Dalam istilah syarak pula, puasa bermaksud manahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkannya dengan sengaja. Tempohnya bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Sekiranya dinyatakan berbelanja secara berlebihan itu merupakan perkara yang membatalkan, pasti ramai antara kita yang akan terbatal puasanya akibat sikap suka membeli mengikut nafsu dan bukannya mengikut keperluan.

Orang yang beriman akan menanti kehadiran bulan Ramadhan dan akan bersedih menjelang hari-hari terakhir di bulan ini sebaliknya orang-orang yang sebaliknya akan menantikan saat munculnya 1 Syawal bagi meraikan kejayaan mereka berpuasa di bulan Ramadhan. Ungkapan yang mempunyai makna yang cukup tersirat. Melalui senario-senario ini, nyata sekali kepada kita bahawa bulan Ramadhan ini memang cukup istimewa. Seistimewa perhiasan mahal yang sering dipuji. Tapi apakah yang membuatkan bulan ini sangat istimewa jika hendak dibandingkan dengan 11 bulan yang lain? Apakah bulan-bulan lain hanya sebagai mengisi kekosongan ruang dalam kalendar? Setiap bulan dijanjikan keistimewaan yang tersendiri. Namun seperti dalam sebuah rumah yang dibina pasti ada seorang wakil yang akan menjadi ketua dan paling istimewa antara semua yang ada. Begitu juga dengan bulan-bulan dalam kalendar Hijrah. Antara semua bulan tersebut, bulan Ramadhan telah ditetapkan Allah untuk menjadi bulan yang paling istimewa. Istimewa bulan ini bukan kerana pada nama sahaja, namun ganjaran yang dijanjikan cukup ‘lumayan’ bagi individu yang berusaha melakukan apa yang telah disuruhNya. Saya bagi contoh mudah untuk situasi ini. Contohnya bagi pelajar yang masih menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi atau dengan kata yang lebih mudah di universiti. Bagi pelajar kampus, markah yang tinggi dalam tugasan yang diberikan merupakan perkara yang sering diinginkan dan pasti ia akan menjadi kebanggaan sekiranya ia terjadi. Dan bagi mendapatkan apa yang kita mahu, kita pasti akan melakukan segala prosedur yang telah ditetapkan oleh pensyarah masing-masing bagi memastikan kita menepati kriteria-kriteria yang telah ditetapkan. Kita sanggup menunggu di depan pintu bagi menantikan kehadiran pensyarah unutk menunjukkan gerak kerja yang dilakukan, kita sanggup berjaga malam belajar dan mencari bahan untuk dijadikan bahan, kita sanggup berkejar ke kelas tutorial bagi memastikan bilangan kahadiran yang telah ditetapkan dapat dipenuhi dan saya pasti banyak lagi perkara yang sanggup kita lakukan suapaya dapat memberikan keyakinan dan menunjukkan kepada pensyarah kita yang kita sepatutnya dapat ‘A’ tersebut selain mencari ilmu untuk kegunaan diri sendiri pada masa hadapan. Semuanya semata-mata untuk ‘A’ di atas sekeping kertas. Itu kehidupan yang saya perhatikan dalam kampus yang dicipta manusia. Kampus yang diwujudkan bagi meningkatkan ilmu manusia. Cuba kita buka sedikit minda dan samakan kewujudan kampus ini dengan ‘kampus’ kehidupan manusia yang telah ditetapkan oleh sang penciptanya. Banyak persamaan yang wujud.

Kita sentiasa diberi peluang untuk berubah dari kejahatan kepada kebaikan. Namun dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Allah menjanjikan kesenangan dan ganjaran yang berlipat ganda bagi usaha yang kita lakukan. Seperti seorang pekerja yang diberikan reward bonus kenaikan gaji sekiranya majikan berpuas hati dengan kerja yang dilakukan. Cuma bezanya reward ini dapat dilihat dengan mata kasar dan berbeza dengan reward daripada Allah yang hanya akan dirasai dengan keyakinan yang tinggi padaNya. Lagipun Allah telah menjanjikan bahawa sepanjang bulan Ramadhan ini, semua pintu neraka ditutup dan semua pintu syurga akan dibuka seluas-luasnya. Syaitan juga dirantai bagi menghindarkan kita daripada terpengaruh dengan pujukannya di sepanjang bulan Ramadhan ini. Sekiranya kita masih mendapati bahawa kita masih melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan yang dilarang olehnya, itu bermaksud kita sendiri telah gagal mengawal nafsu yang ada dalam diri kita sendiri. Mari kita kaji kelebihan bagi perkara yang diperintahkan dalam bulan Ramadhan ini.

Menahan diri daripada lapar dan dahaga
Dalam bulan ini, kita diperintahkan untuk menahan diri daripada perasaan lapar dan dahaga. Namun selain itu, kita juga diperintahkan untuk menjaga anggota badan yang lain daripada perkara yang tidak berfaedah. Menjaga mata daripada melihat perkara-perkara yang boleh merosakkan pemikiran, menjaga tangan dan kaki daripada melakukan perkara-perkara yang membuang masa dan sebagainya. Sebaliknya, dalam bulan Ramadhan ini kita digalakkan untuk membanyakkan amalan-amalan seperti banyakkan berzikir dan berdoa kepadaNya (mulut), banyakkan membantu orang lain (tangan dan kaki) serta membanyakkan mendengar ayat-ayat Alquran (telinga). Sabda Rasulullah SAW,
‘Puasa itu adalah perisai’. (Riwayat Bukhari)

Ramai daripada kita berfikir bahawa di bulan Ramadhan ini, tidak banyak kerja yang boleh dilakukan kerana badan akan mengalami keletihan disebabkan kerana tidak makan. Seandainya perkara ini benar, pasti peperangan tidak akan terjadi di zaman Rasulullah SAW. Dalam bulan Ramadhan, pelbagai peristiwa penting telah berlaku. Antaranya Peperangan Badar Al Kubra (17 Ramadhan Tahun 2 Hijrah Bersamaan 62 Masihi), Pembukaan Mekah Al Mukarramah (21 Ramadhan Tahun 8 Hijrah Bersamaan 629 Masihi), Peperangan A Buwaib di Iraq dan Parsi (Ramadhan Tahun 13 Hijrah, 534 Masihi) dan banyak lagi (Muhammad Ramzi Omar, 2006). Ramai pelajar akan memberi alasan penat untuk ke kelas kerana keletihan disebabkan berpuasa. Mari kita kaji perintah Allah ini secara kajian sains. Pada mulanya memang kita akan berasa lapar kerana perut kita kosong dan kadar gula dalam darah akan menurun. Seterusnya, badan akan lemah terutamanya bagi mereka yang menggunakan tenaga yang banyak ketika bekerja. Sebenarnya, tanpa kita sedari, semasa kita berpuasa, hati kita sebenarnya sedang dikerahkan tenaganya. Hati berfungsi menyimpan gula untuk keperluan kecemasan iaitu apabila badan kekurangan gula. Kelebihan gula yang berlebihan dalam hati akan menyebabkan kerosakan hati yang teruk. Oleh itu, semasa kita berpuasa, kita sebenarnya sedang membantu hati menyalurkan zat gula tersebut kepada organ-organ badan yang memerlukan. Begitu juga keadaannya dengan zat yang terdapat dalam otot dan kalenjar. Semuanya akan dipecahkan dan digerakkan ke seluruh badan bagi menampung aktiviti sel di seluruh anggota badan. Kesimpulannya, apabila kita berpuasa kita sebenarnya sedang membantu badan kita dalam melakukan aktiviti pembersihan sebilangan besar zat yang berlebihan di dalam badan. Kalau dilihat, ramai doktor perubatan di Eropah menjadikan amalan berpuasa sebagai satu terapi untuk mengubati pelbagai penyakit seperti pesakit yang mengalami gangguan pencernaan, kegemukan, sakit jantung, radang hati, kencing manis dan darah tinggi. Mark Pardon yang merupakan salah seorang pakar yang sedang sibuk menjalankan kajian terhadap puasa dan pengaruhnya menyatakan, ‘Semua orang perlu berpuasa. Apabila berpuasa, lemak dan zat yang berlebihan akan disalurkan ke seluruh badan dan kesannya tubuh akan menjadi bersih dan racun-racun dalam badan akan dihapuskan’. Rasullullah sendiri pernah bersabda, ‘Berpuasalah semoga kamu menjadi sihat’ (Abu Bakar Selamat, 2001). Tidak hairanlah sekiranya kebanyakan daripada kita akan berpuasa untuk mengurangkan berat badan atau ‘berdiet’.

Dari aspek yang lain, berpuasa memberikan kita peluang untuk merasai keperitan dan kelaparan yang dialami oleh orang-orang miskin. Amalan berpuasa mengajar insan memahami keperitan yang dialami oleh insan lain sekaligus menyedarkan kita untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan agar kesusahan yang dialami dapat diringankan dan sikap memahami ini sepatutnya diteruskan walaupun selepas bulan Ramadhan. Kefahaman kita terhadap kesengsaraan kita ini akan melahirkan keikhlasan dalam membantu mereka kerana kita sendiri pernah merasai keperitan kelaparan.
Secara tidak langsung keadaan ini memberikan latihan kepada kita untuk membantu orang lain secara ikhlas dan bukan hanya untuk membantu dan keikhlasan ini memberikan jalan kepada kita untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah.

Mendirikan solat tarawih secara berjemaah
Setelah siangnya menahan diri daripada makan dan minum serta perbuatan-perbuatan yang membatalkannya, di sebelah malamnya kita disuruh untuk mengejakan solat sunat terawih secara berjemaah. Tujuan utama ia digalakkan untuk dibuat secara berjemaah adalah untuk mengelakkan kelesuan setelah berbuka. Sekiranya terawih tidak dijalankan secara berjemaah, nescaya kita akan teragak-agak untuk melaksanakan seorang diri kerana kita pasti akan mengambil mudah akannya.

Selain dapat menunaikan solat sunat secara berjemaah yang mana ganjarannya 27 darjat lebih berbanding solat seorang diri, kita juga akan dapat menambahkan kenalan serta mengeratkan siraturahim. Cuba bayangkan selama setahun kita semua sibuk dengan urusan masing-masing. Namun, dalam bulan Ramadhan ini, kita akan berjumpa setiap malam bagi menunaikan solat sunat terawih. Peluang ini diberi untuk kita saling bersuai kenal sesama muslim dan mengeratkan kemabli siraturahim yang terjalin.

Bersedekah
Amalan bersedekah merupakan salah satu amalan yang digalakkan sepanjang bulan Ramadhan. Rasulullah sendiri dikatakan insan yang paling dermawan ketika bersedekah. Amalan bersedekah ini bukan sahaja membantu orang-orang miskin malah turut membantu keadaan ekonomi negara melalui menggunakan khidmat para peniaga untuk membekalkan bahan-bahan yang diperlukan. Tujuan amalan ini adalah menyedarkan golongan yang kaya supaya hidup beserhana dan menggunakan kelebihan yang mereka miliki untuk menghiburkan golongan yang kurang upaya. Rezeki yang dimiliki dikongsi bersama. Secara tidak langsung, hubungan akan terjalin sesama muslim.

Kesimpulan
Bagi yang memanfaatkan bulan Ramadhan dengan sebaik-baiknya iaitu memahami dan melaksanakan segala yang diperintahkan akan mula merasakan kemanisannya pada hari mereka menyambut 1 Syawal. Pada tarikh itu, insan-insan ini akan bergraduasi dan mereka akan disambut mesra oleh para malaikat di kala mereka menunaikan solat sunat hari raya. Pada hari tersebut, individu ini boleh dikatakan sudah mempunyai fahaman asas yang cukup bagi segala perintah yang Allah tentukan atau dengan kata mudah insan-insan ini sudah mula menyemai ‘benih’ yang mempunyai mutu yang sangat baik untuk menghasilkan sebuah pohon yang baik dan berkualiti. Rasulullah SAW bersabda,
‘Sekiranya umatku mengetahui segala kebaikan yang terdapat dalam bulan Ramadhan, tentu mereka akan menginginkan agar seluruh bulan dan tahun menjadi Ramadhan kernan semua kebaikan terkumpul dalam bulan Ramadhan, ketaatan diterima, semua doa akan dimakbulkan,semua dosa diampunkan dan syurga akan rindukan mereka.’
Sebagai rumusan kepada perbincangan ini, saya ingin membuat ringkasan kepada sebab yang boleh dikatakan bahawa bulan Ramadhan merupakan sebuah universiti untuk kita menyemai iman yang sebenarnya sudah tersedia ada Cuma terlindung keranan kejahilana diri kita sendiri. Individu yang melaksanakan amalan puasanya dengan sebaik-baiknya akan mengembalikan manusia kepada fitrahnya dan meningkatkan taqwanya. Saya mengatakan sedemikian kerana sepanjang bulan Ramdhan ini, seseirang ini kan melaksanakan malan-amalan seperti berpuasa, bermujahadah, solat sunat terawih, bersedekah dan membaca Al Quran. Semua amalan ini merupakan tarbiah untuk membuang sifat jahat dan digantikan dengan sikap yang baik.

Amalan berpuasa menghendakkan kita untuk menahan diri daripada makan dan minum serta nafsu syahwat. Tindakan ini mendidik individu untuk menjadi manusia yang sabar dan redha. Contohnya sabar dalam menahan kemahuan nafsu daripada melakukan larangan daripada Allah. Melalui puasa juga, rasa simpati dan empati terhadap oramg miskin akan dapat dipupuk dalam diri sekaligus meningkatkan keimanan kita kepada Allah. Lapar dan dahaga yang kita tanggung akan menyedarkan kita dengan keperitan yang dirasai oleh orang-orang miskin serta anak-anak yatim. Kita perlu bersyukur kerana kita diselamatkan dan tidak diberi peluang untuk menjadi seperti mereka. Oleh itu, atas kelebihan yang ada pada diri kita, kita akan membantu mereka bagi mengurangkan penderitaan yang sedang mereka tanggung. Bantuan yang diberikan secara tidak langsung memberi peluang kepada kita mengeratkan hubungan siraturahim dengan saudara seislam yang lain yang tidak kita langsung kita kenali sebelum ini.

Selain menahan diri daripada makan dan minum, kita juga sebenarnya sedang didisiplinkan dari sikap mazmumah yang lain seperti sombong, pemarah, dengki berburuk sangka, mementingkan diri sendiri dan sebagainya. Seorang yang berpuasa tetapi tidak menahan diri daripada sikap-sikap mazmumah tidak akan mendapat apa-apa ganjaran sebaliknya hanya hanya berasa lapar dan dahaga sahaja. Alangkah ruginya golongan ini. Apakah kita mahu diri kita dikelompokkan ke dalam kumpulan ini? Hanya hati dan amalan kita sendiri yang menentukannya. Hal ini bermakna, kita diarahkan untuk memberhentikan sikap-sikap negatif ini. Apabila seseorang itu berjaya melawan hawa nafsunya bermaksud insan ini akan berjaya menutup jalan ‘highway’ bagi godaan syaitan ke atas dirinya. Apabila pintu syaitan telah ditutup, maka ketaatan kepada Allah akan bertambah situasi ini akan mengembalikan kita kepada fitrah kita iaitu mempunyai akhlak yang murni. Allah sendiri memuliakan jiwa-jiwa yang mulia ini (Al-Fajr : 27 - 30).

Pada malam harinya, kita digalakkan untuk menunaikan solat terawih. Cuba kita kira. Satu malam kita mengerjakan 11 rakaat dan bermaksaud selam sebulan kita telah menunaikan 330 rakaat solat sunat. Sekiranya kita benar-benar ikhlas dalam mengerjakan solat sunat ini iaitu untuk mendapat ganjaran daripada Allah, 330 rakaat ini benar-benar sudah mamapu mengubah diri kita menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya. Kita akan menjadi hamba yang mencintai penciptanya, tegas dengan kekafiran dan maksiat diri , pemurah, bersangka baik, sabar dalam ujian, redha dengan takdir dan yang paling penting menjadi insan yang membeasrkan akhirat lebih daripada kehidupan dunia. Semua ini bermula daripada keihklasan kita dan keihklasan ini akan membajai hati kita untuk terus melaksanakan amalan-amalan yang mulia walaupun selepas bulan Ramadhan berakhir.

Di samping itu, kita juga digalakkan untuk bersedekah. Kita juga diwajibkan untuk mengeluarkan zakat. Dalam tindakan ini, kita sebenarnya sedang mendidik diri dengan untuk bersifat pemurah, bertimbang rasa pada orang-orang yang sedang mengalami kesusahan dan berkasih sayang terhadap mereka. Orang yang dapat menghiburkan orang lain pasti akan dihiburkan oleh Allah di akhirat kelak. Itu janji yang telah Allah berikan kepada kita. Sekiranya kita mampu mengekalkan sikap ini ertinya kita telah kembalikan hati kita kepada fitrah yang suci seperti keadaan awal kita dilahirkan.

Amalan membaca Al Quran juga merupakan satu amalan yang sangat dituntut dalam bulan Ramadhan. Membaca Al Quran bukan sekadar membac a tetapi juga berusaha mengambil iktibar daripada kisah-kisah yang terdapat di dalamnya dan juga memerhatikan dan meneliti hukum-hakam bacaannya. Tindakan ini akan membersihkan diri kita daripada fikiran-fikiran yang karut ciptaan manusia. Dan sebagai kesannya, kita akan menjadi insan yang berprinsip dalam menetapkan matlamat hidup dan prinsip itu kita sandarkan pada suruhan yang telah ditetapkan dalam Al Quran. Dengan banyak membaca Al Quran, kita akan mengenal Allah, merasai kehebatan dan nikmatNya dan meyakini kehadiran hari akhirat yang abadi yanng memerlukan ketaqwaan kita sebagai bekalan kita di sana nanti. Ketaqwaan yang akan menentukan hala tuju kita seterusnya nanti.
Beruntunglah bagi sesiapa yang mengejar segala perintahNya dengan penuh kesungguhan kerana ganjarannya sangatlah lumayan. Dan yang paling penting adalah orang-orang yang beruntung ini dapat mendidik diri dengan nilai ketaqwaan yang tinggi. Ibarat mahasiswa yang mengejar ijazahnya untuk hari konvokesyennya, seorang mukmin mengajar ketaqwaan dalam mendapatkan sijil yang paling tinggi pada hari konvokesyennya di akhirat nanti. ‘Ijazah’ yang dipandang mulia oleh Allah.

Di kesempatan yang ada ini, cuba kita renungkan diri kita. Sekiranya diletakkan skala di hadapan kita, antara nombor 1 sehingga 10, di manakah diri kita berada? Di manakah tahap kepatuhan kita kepada suruhanNya? Hanya kita yang tahu tahap diri kita yang sebenarnya dan hanya diri kita sendiri yang boleh mengubah tahap skal itu kepada yang lebih baik.

Rujukan
Abdul Hadi Awang (2008), Ramadhan Tetamu yang Dirindui, PTS Publications & Distributors Sdn.Bhd., Selangor.

Abu Bakar Selamat (2001), Sinar Ramadhan, K Publishing Sdn. Bhd., Selangor.
Danial Zainal Abidin (2007), Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, PTS Millenia, Kuala Lumpur.

Juanda Hj. Jaya (2009), Puasa Terapi Jiwa: Spa Syurga, Majalah Mingguan Wanita, Keluaran Ogos 2009, Karangkraf.

Muhammad Ali Dannawi , terjemahan: Muhammad Ramzi Omar (2006), Madrasah Ramadhan:Penerokaan & Hukum Hakam, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Kuala Lumpur.
Musyarawahab (1995), Roh Ramadhan & Aidil Fitri, AlHidayah publisher, Kuala Lumpur.

No comments: